Kata-Kata Aluan Guru Utama Dan Presiden PSCSPSM
- 03 October 2012
- Hits: 8534
Assalamu 'alaikum warah matulla hi wabarakatuh.
Bismilla hitawakkal tu 'alallah
La haula wala quwata illa billa hil 'aliyil 'azim.
Dengan nikmat rahmat Allah Ta'ala, kita dapat berasa syukur dengan zat NYA jua - Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia (PSCSPSM) telah disahkan Pendaftaran oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia pada 14 September 2012 bersamaan 27 Syawal 1433 H, Pendaftaran awal telah dibuat pada 24 Julai 2012 bersamaan 5 Ramadhan 1433 H iaitu selepas Jawatan Kuasa Penaja yang dilantik dalam Mesyuarat Agong Penubuhan pada 21 April 2012 bersamaan 29 Jamadil Awal 1433 H, menggubal rangka Perlembagaan Persatuan.
Silat adalah di antara cabang budaya Melayu turun temurun yang tetap dipimpin oleh guru-guru Melayu sendiri sebagai budaya bangsa dengan adat dan adab yang diterapkan bersama ilmu mempertahankan diri.
Budaya ini pada zahirnya adalah pencak iaitu gerak 2 tangan dan 2 kaki dengan buah pukulan dan bunga tari hiasan. Segala rupa bentuk gerak itu mempunyai maksud tertentu yang difahami oleh pengamalnya.
Pada bathinnya pula diisi dengan mentera, kerteng, seruan dan sebagainya bagi tenaga dalam. Begitu juga dengan ilmu bela diri dari dalam dan luar negara, ada menerapkan adat dan adab budaya bangsa masing-masing dengan falsafah kefahaman dan rupa bentuk gerak sembahan-sembahan kepada tuhan mereka.
Sehingga kedatangan Islam di Nusantara, budaya ini pada bathinnya digantikan dengan ayat-ayat Al-Quran dan menjadi alat sebagai jalan dakwah oleh pendakwah agama bagi menerapkan nilai-nilai kemanusiaan dan ketuhanan mengikut garis panduan Islam.
Maka silat adalah silaturrahim iaitu memerlihara hubungan baik.
Dan dapat pula difahami silat bermaksud gerak yang terpelihara, namun tidak kurang juga yang mengambilnya sebagai alat dakyah perpecahan.
Begitu hari ini bangsa Melayu menjadi tonggak agama Islam di Nusantara.
Setiap yang baharu yakni makhluk ada berpasangan sebagai bandingan. Hanya Allah Azzawajalla Yang Maha Esa tiada bandingan. Maka pada perkara yang baik tentu ada buruknya.
- Apabila ada yang suka tentu ada yang benci.
- Apabila ada yang sokong pasti ada yang bangkang.
- Apabila ada pejuang begitu juga ada pengkhianat.
Dengan ini saya mengingatkan kepada semua ahli PSCSPSM supaya mencari yang baik dan jauhi kebanyakan sangka.
Anggaplah keburukan kawan sebagai kelemahan atau kelalaiannya yang perlu dibaiki bersama demi menjaga perpaduan sedangkan keadaan lemah dan lalai juga ada pada setiap diri.
Waspada dengan kebiasaan …………..
Kekuatannya dipuji kelemahannya dicaci keji?
Keindahannya dipuja keburukannya dicerca?
Dengan kalimah-kalimah Allah Yang Maha Agong, saya merasmikan “Portal Rasmi Persatuan Silat Chekak Silat Papan Sekeping Malaysia (PSCSPSM)”.
Semoga diberkati NYA bersama guru-guru terdahulu dengan karamah dan hikmah bersama ibu bapa kita.
Selawat dan salam keatas junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w dan ahli keluarganya serta para sahabatnya.
Guru Utama dan Presiden PSCSPSM
Tuan Tabib Mohd Soleh Bin Hj. Hussin